PRU DUN Sarawak: Pastikan Parti PBB menang besar di 47 kerusi

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu memastikan kemenangan besar di kesemua 47 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, pada 12 Disember depan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kemenangan dengan majoriti besar penting bagi memperkukuh kedudukan politik serta parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, kekuatan politik yang kukuh membolehkan Sarawak menentukan hala tuju pembangunan mengikut keperluan serta kepentingan rakyat negeri ini.

“Kita mahu bukan sahaja kemenangan, tetapi kemenangan bergaya.

“Kita mahu memastikan 47 kerusi Parti PBB menang dengan majoriti besar supaya kita mempunyai kekuatan untuk menentukan agenda pembangunan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 yang menghimpunkan kepimpinan Pergerakan Wanita Parti PBB Zon Kuching, di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, kestabilan politik yang dinikmati Sarawak di bawah kepimpinan GPS merupakan antara faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur antarabangsa.

Jelasnya, dasar pembangunan yang jelas serta kepimpinan yang stabil membolehkan Sarawak terus menarik pelaburan dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya meneroka sumber pendapatan baharu negeri menerusi pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan pelaksanaan Cukai Jualan Negeri.

Menurutnya, peningkatan hasil negeri membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan infrastruktur, melaksanakan projek pembangunan serta menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Saya ingatkan kepada seluruh jentera parti, khususnya Pergerakan Wanita parti supaya mempergiat usaha.

“Ini dengan mendekati masyarakat dan memberikan penerangan mengenai pencapaian serta dasar pembangunan kerajaan,” tegasnya.

Katanya, Pergerakan Wanita memainkan peranan penting sebagai penggerak utama pelbagai program parti di peringkat akar umbi.

Beliau turut menggesa semua komponen GPS supaya memperkukuh kerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan besar pada pilihan raya akan datang.

“Kemenangan ini nanti merupakan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.

NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI