Sarawak sasar pengurangan pelepasan karbon 35 peratus

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 35 peratus menerusi pelaksanaan Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri seiring dengan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, strategi berkenaan merupakan pendekatan menyeluruh dalam mengawal pelepasan karbon, khususnya daripada sektor tenaga, perindustrian, pengangkutan, bangunan dan pengurusan sisa.

Sementara itu, pelaksanaan strategi itu turut berpotensi menarik pelaburan bernilai RM347 bilion serta menyokong kira-kira 223,000 peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi hijau,ujarnya.

“Pendekatan kita adalah untuk berkembang secara bertanggungjawab, membangunkan industri secara mampan.

“Kita mahu memanfaatkan sumber asli sambil memelihara nilainya untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) 2026 dan Pelancaran Strategi Net Zero dan Pelan Karbon Sarawak di Hotel Pullman, malam ini.

Abang Johari menjelaskan bahawa Pelan Karbon Sarawak turut memberikan tumpuan kepada teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta perdagangan karbon bagi menyokong pembangunan ekonomi rendah karbon.

Tambahnya, pelan itu merangkumi 15 keutamaan strategik dan melibatkan lapan sektor utama penyumbang pelepasan karbon serta tujuh pemudah cara merentas sektor.

Ini termasuk tenaga, industri, pengangkutan, bangunan, sisa dan pertanian,jelasnya.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang meneroka kaedah terbaik untuk memanfaatkan peluang ekonomi karbon, termasuk penglibatan sektor swasta.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu perlu berpandukan perundangan dan dasar yang jelas.

“Sasaran pelepasan karbon sifar bersih tidak bermakna pembangunan ekonomi perlu dihentikan.

“Sebaliknya memerlukan keseimbangan melalui penggunaan teknologi baharu, pendigitalan dan kaedah pengurusan yang lebih cekap,”tegasnya.

Jelasnya, pendekatan tersebut penting bagi membolehkan Sarawak meneruskan pembangunan industri dan menarik pelaburan.

Di samping itu, ujarnya, ia dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta menyumbang kepada komitmen Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI