Pesta Telaga Air bermula

KUCHING:  Pesta Telaga Air Edisi ke-19 membuka tirainya malam tadi dengan acara Forum Perdana Ehwal Islam dengan menampilkan dua ahli panel tempatan terkenal.

Mereka ialah Penyelaras Latihan Dakwah Hikmah, Ustaz Sarbini Dahlan dan seorang pengamal perubatan Islam dan pengásas rawatan Islam Ruhul Syifa Kuching, Ustaz Ismail Maharop.

Forum yang bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ diselenggarakan oleh Ustaz Muhammad Bahrin Al-Bahri selaku moderator.

Pesta Telaga Air edisi ke-19 yang berlangsung  sehingga 8 November ini, bakal menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk penduduk setempat dan pengunjung.

Ia sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim melalui aktiviti sukan, riadah dan kebudayaan.

Kampung Telaga Air yang terkenal sebagai sebuah perkampungan nelayan akan menjadi tumpuan orang ramai menerusi penganjuran pesta berkenaan, dengan pelbagai acara diadakan di beberapa lokasi, termasuk Esplanade Telaga Air, Dewan Utama, Dewan Masyarakat serta gelanggang futsal, pickleball dan petanque.

Antara acara yang menjadi tarikan ialah pertandingan lelaki dan wanita terkuat yang dikenali sebagai Badang Telaga Air, Battle of the Bands, Nopeng, memancing, petanque, e-sukan, badminton, silat, karaoke, mewarna lukisan dan futsal.

Penganjuran kali ini turut menampilkan acara baharu, iaitu pertandingan melastik dan pickleball, selain silat, pertandingan kiosk jualan berhias yang memberi peluang kepada peniaga tempatan memeriahkan suasana pesta.

Pesta anjuran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan kerjasama badan-badan komuniti Kampung Telaga Air itu turut mendapat sokongan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen P.193 Santubong dan Pusat Khidmat N.4 Pantai Damai, selain dukungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Sambutan yang diterima daripada penduduk dan peserta amat menggalakkan.

Malah, terdapat penyertaan yang terpaksa ditolak berikutan jumlah permohonan melebihi kapasiti  dan  kekangan masa untuk melaksanakan semua acara.

Pengerusi pengelola, Kaunselar Samsudin Unai, berkata beliau berpuas hati terhadap penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam malam.

Selain itu, beliau jua berpuas hati terhadap persiapan yang dilaksanakan MPP bersama badan-badan komuniti Kampung Telaga Air bagi memastikan kelancaran penganjuran beberapa aktiviti.

Pesta Telaga Air bukan sahaja menjadi medan pertemuan masyarakat melalui aktiviti sukan dan kebudayaan, malah berpotensi membantu merancakkan kegiatan ekonomi penduduk.