KUCHING: Rekod pencapaian pembangunan Kerajaan Sarawak sejak 2017 menjadi kekuatan utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Ketua Penerangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menunjukkan prestasi memberangsangkan melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, kejayaan rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pengambilalihan Pelabuhan Bintulu serta penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak merupakan antara pencapaian penting pentadbiran negeri.
Pembangunan infrastruktur termasuk Lebuh Raya Pesisir, Jalan Utama Kedua dan pembinaan 22 jambatan turut membawa perubahan besar kepada sistem perhubungan, khususnya di luar bandar.
“Pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan turut diperkenalkan Kerajaan Sarawak.
“Ini termasuk bantuan kepada ibu yang melahirkan anak serta dasar pendidikan tinggi percuma bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) juga mencerminkan usaha kerajaan memperluas penglibatan Sarawak dalam industri minyak dan gas.
Ini jelasnya, selaras dengan aspirasi menjadikan negeri ini maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Abdul Karim turut menyatakan keyakinan bahawa rekod pembangunan dan pencapaian Kerajaan Sarawak mampu menjadi asas kepada GPS untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Bagaimanapun,keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat Sarawak untuk menentukan kepimpinan yang mampu menjamin kestabilan politik, pembangunan dan kesejahteraan negeri,” jelasnya.
