Aktif berkempen belum tentu calon rasmi GPS

KUCHING: Kehadiran individu yang aktif turun padang, berkempen di media sosial atau memakai pakaian Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bermakna mereka dipilih sebagai calon rasmi bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, status pencalonan hanya disahkan selepas individu berkenaan menerima watikah daripada parti menjelang hari penamaan calon.

“Sesiapa sahaja boleh turun ke kawasan yang ingin ditandingi dengan harapan dipilih oleh parti. Namun, jika tidak dicalonkan, mereka perlu menyokong siapa sahaja yang dipilih GPS di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media khas PRU Sarawak ke-13 di sini, hari ini.

Menurutnya, kemunculan individu yang semakin aktif mendekati masyarakat menjelang pilihan raya merupakan perkara biasa, namun pengundi boleh menilai sendiri keikhlasan dan konsistensi mereka dalam berkhidmat kepada rakyat.

“Kadang-kadang agak pelik, mengapa hanya turun padang sebelum pilihan raya? Mengapa hanya muncul di media sosial sebelum pilihan raya? Tetapi perkara seperti ini memang sebahagian daripada suasana menghadapi pilihan raya,” katanya.

Mengulas kaedah kempen, Abdul Karim berkata, media sosial akan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat politik, termasuk menerusi saluran rasmi parti dan platform yang dikendalikan penyokong.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kempen digital tidak boleh menggantikan pendekatan bersemuka kerana pertemuan secara langsung memberi peluang kepada pengundi menilai keperibadian serta kemampuan seseorang bakal wakil rakyat.