KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini mempunyai 17 rakan kerjasama strategik bagi pelaksanaan Program Profesional dan Eksekutif sejak diperkenal pada 2020.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit berkata, peningkatan daripada hanya empat rakan kerjasama utama membuktikan keyakinan pelbagai pihak terhadap program yang ditawarkan universiti itu.
“Perkembangan ini mencerminkan keyakinan rakan strategik terhadap keupayaan UNIMAS dalam menyediakan program yang relevan dengan keperluan semasa serta memberi peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk meningkatkan kompetensi profesional masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Profesional dan Eksekutif Ke-5 UNIMAS, di sini, hari ini.
Antara pencapaian program tahun ini ialah kejayaan melahirkan 18 graduan Program Profesional Penggerak Transformasi Start-up (Tahap 1) menerusi UNIPRENEUR 5.0 tajaan Bank Rakyat.
Selain itu, Program Profesional Kecemerlangan Kepimpinan (Tahap 4) mencatat penyertaan kohort pertama seramai 16 staf pentadbiran UNIMAS, manakala Program Profesional Pertanian Moden (Tahap 2) melahirkan 10 graduan daripada Agroz Group Sdn. Bhd.
“UNIMAS Business School turut menerima pengiktirafan untuk tahun keempat berturut-turut menerusi Anugerah Pendidikan dan TVET Malaysia (META) 2026 dengan anugerah Industry-Ready Education Excellence Award,” tambahnya.
Menurut beliau, UNIMAS kini melangkah ke fasa baharu menerusi Pelan Strategik UNIMAS 2026–2030 yang berteraskan gagasan IDEA, merangkumi Inspiring People, Driving Innovation, Extending Global Impact dan Advancing Sustainability.
Menerusi agenda itu, UNIMAS Business School menyediakan pelbagai laluan pembelajaran termasuk program profesional, pascasiswazah, latihan profesional, pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL), mikrokredensial serta pengiktirafan pembelajaran terdahulu (APEL).
Beliau turut mengingatkan para graduan supaya menterjemahkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh kepada tindakan serta sumbangan bermakna kepada organisasi dan masyarakat selain terus mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
