Jangan biarkan sentimen perkauman jejaskan keharmonian Sarawak

SIBU: Rakyat Sarawak perlu menolak sebarang naratif perkauman yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, rakyat perlu mempertahankan keharmonian yang menjadi asas kekuatan Sarawak daripada sebarang cubaan pihak tertentu mencetuskan perpecahan.

Katanya, keamanan dan kestabilan negeri hasil kesediaan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara harmoni, sekali gus menjadi warisan yang perlu dipelihara.

“Perpaduan adalah perkara paling penting bagi kita. Melalui perpaduan, kita dapat hidup dalam keadaan lebih aman dan harmoni,” katanya pada Majlis Makan Malam Mesra Bersama Pemuda Nangka di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), malam tadi.

Majlis bertemakan perpaduan itu dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat DUN N55 Nangka dan Kelab Sukan Rekreasi Kampung Dato Baru, Sibu, dengan kehadiran kira-kira 1,000 belia termasuk ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau turut mengimbas pengalaman ketika berkempen pada pilihan raya terdahulu apabila terdapat penduduk menyuarakan rasa tidak puas hati kerana beranggapan keperluan mereka kurang diberikan perhatian.