Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah meriahkan Batik Pelikat Fun Walk 2026

KUCHING: Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyempurnakan Batik Pelikat Fun Walk 2026 yang menghimpunkan seramai 450 peserta di Pangkalan Sapi, di sini, hari ini.

Program anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) menggunakan tema Batik Pelikat itu bertujuan mengangkat identiti warisan serta menggalakkan generasi muda menghargai dan memartabatkan budaya tempatan, di samping menggalakkan penjagaan kesihatan.

Pengerusi PPWS Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti sukan dan riadah, malah menjadi platform penting untuk memupuk semangat perpaduan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti.

“Ini membuktikan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental, di samping meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya semasa berucap.

Beliau menambah, program Fun Walk PPWS telah dilaksanakan di lima kawasan di Sarawak, iaitu Sibu, Miri, Bintulu, Limbang dan Kuching yang menjadi lokasi terakhir bagi tahun ini.

Ujarnya, PPWS merancang menjadikan program Fun Walk sebagai aktiviti tahunan dengan tema berbeza, selain bakal menyambut ulang tahun ke-65 penubuhannya pada tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Norhyati memaklumkan PPWS akan menganjurkan ‘WeCare 2026: Women Care in Economic Conference’ pada 5 Disember depan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengetahuan berkaitan ekonomi penjagaan, khususnya penjagaan warga emas.

Menurutnya, persidangan itu juga merupakan sebahagian daripada usaha mempersiapkan golongan wanita menghadapi perubahan demografi Sarawak yang dijangka menjadi masyarakat menua menjelang 2029. -UKAS