Universiti Teknologi Tun Openg pemangkin pembangunan Telaga Air

KUCHING: Cadangan pembinaan  Universiti Teknologi Tun Openg di Kampung Trombol, Telaga Air, disambut baik kerana berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih pesat di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata, pembinaan institusi pengajian tinggi itu turut membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi muda, malah berupaya mengubah landskap pembangunan Telaga Air pada masa hadapan.

Menurutnya, kehadiran universiti berkenaan merancakkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur serta aktiviti perniagaan.

Ia turut membuka peluang kepada Telaga Air untuk berkembang menjadi sebuah bandar baharu di Kuching.

Beliau berkata, Universiti Teknologi Tun Openg yang dulu dikenali Kolej Universiti  i-CATS, turut memberi penekanan kepada bidang pengajian berteknologi tinggi, termasuk kejuruteraan aeroangkasa serta teknologi penerbangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Rahman memberitahun Kerajaan Sarawak turut merancang pembinaan jalan raya baharu bagi meningkatkan akses ke kawasan berkenaan.

Katanya, projek berkenaan merangkumi pembinaan jalan sepanjang kira-kira 7.2  kilometer menghubungkan Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem ke tapak universiti.

Selain itu, satu lagi laluan baharu sepanjang lebih  empat kilometer dari lebuh raya sama menuju ke kawasan Kampung Telaga Air.