KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan terus diberi kepercayaan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 ini.
DUN berkenaan kesemuanya dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Satok (Datuk Ibrahim Baki), Tupong (Dato Fazzrudin Abdul Rahman), Stakan (Datuk Hamzah Ibrahim) dan Kedup (Datuk Martin Ben).
“Saya mahu melihat kamu semua kekal sebagai Yang Berhormat. Wartawan pun tahulah maksud saya. Apa yang disebut itu, tetap menjadi calon,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Armada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Kampung Matang Batu 10, Kuching, pagi ini.
Abang Johari berkata, anak Sarawak perlu terus memainkan peranan mempertahankan hak dan kepentingan negeri serta memastikan kesinambungan perjuangan demi masa depan generasi akan datang.
“Kita di Sarawak harus sedar bahawa hanya anak Sarawak yang benar-benar memahami keperluan, aspirasi dan masa depan negeri ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun Sarawak mempunyai pelbagai parti politik, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah diberikan kepercayaan oleh majoriti rakyat untuk menerajui pentadbiran negeri.
“Sebagai anak Sarawak, kita mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan hak dan kepentingan negeri serta meneruskan perjuangan demi masa depan masyarakat kita,” ujarnya.
Beliau berharap golongan muda, khususnya Pemuda Parti PBB terus mempunyai semangat, tenaga dan kesungguhan untuk meneruskan perjuangan berkenaan.
“Pemuda Parti PBB merupakan harapan bangsa. Saya berharap golongan muda akan terus mempunyai tenaga, semangat dan kesungguhan untuk meneruskan perjuangan ini.
“Perjuangan kita bukan hanya untuk hari ini, tetapi juga demi memastikan masa depan Sarawak dan generasi akan datang terus terjamin. Terima kasih kepada semua. Selamat berjuang. Hidup PBB!,” tegasnya.
