KUCHING: Kampung Rampangi Fasa Dua menerima peruntukan RM499,377 bagi kerja membaik pulih Surau Darul Ikhtiar menerusi Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, projek berkenaan berjaya disiapkan tiga minggu lebih awal daripada tempoh asal 18 minggu.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja melibatkan penambahbaikan kemudahan fizikal malah menyediakan ruang tambahan untuk kegunaan aktiviti komuniti setempat,” katanya pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani KPWKM Tahun 2026, di sini, hari ini.
Projek berkenaan turut melibatkan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kos RM90,000 bagi kerja pembinaan lantai baharu.
“Surau Darul Ikhtiar akan terus berfungsi sebagai rumah ibadah dan kemudahan komuniti yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Rampangi Fasa Dua,” tambahnya.
Majlis berkenaan turut menyediakan pelbagai perkhidmatan menerusi lapan jabatan dan agensi kerajaan termasuk saringan kesihatan, khidmat kaunseling, urusan kebajikan, pendaftaran dokumen pengenalan diri serta perkhidmatan MyDigital ID.
Antara pengisian lain ialah demonstrasi Sedia Urus Risiko Isi Rumah (SURI) oleh Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya serta sesi perkongsian ilmu daripada Yayasan Kebajikan Negara, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta Perkhidmatan Talian KASIH 15999.
