MUKAH: Pelaksanaan Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak (Siri 2) di beberapa klinik kesihatan sekitar Bahagian Mukah menjadi langkah proaktif dalam meneliti pelbagai isu serta kekurangan fasiliti kesihatan di peringkat komuniti.
Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib berkata, program itu memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan demi manfaat rakyat.
“Jelajah berkenaan turut dirancang untuk diperluaskan ke Sabah pada masa akan datang agar usaha penambahbaikan sektor kesihatan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat Bahagian Mukah di Tapak Kaul Pantai Kala Dana, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menambah bahawa tahap literasi kesihatan masyarakat perlu dipertingkatkan kerana ia berkait rapat dengan kefahaman orang ramai terhadap istilah dan maklumat berkaitan kesihatan.
“Sebagai contoh, masih ada yang kurang memahami maksud tuberkulosis atau TB walaupun penyakit itu mempunyai risiko jangkitan yang tinggi.
“Keadaan ini boleh menyebabkan masyarakat tidak mengambil tindakan pencegahan sewajarnya,” katanya.
