Pusat OSEIC Miri dipercepatkan, bantu perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas

MIRI: Akses perkhidmatan intervensi awal bagi kanak-kanak berkeperluan khas di utara Sarawak dijangka bertambah baik susulan langkah Kerajaan Sarawak mempercepatkan pembinaan Pusat Intervensi Awal Setempat Sehenti (OSEIC) di Miri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelaksanaan projek itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh sistem sokongan awal bagi memastikan kanak-kanak dikenal pasti lebih awal dan menerima intervensi yang bersesuaian.

“Pendekatan intervensi awal penting bagi membantu perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas agar dapat mencapai potensi maksimum mereka sejak peringkat awal usia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek OSEIC Miri di Tudan, hari ini.

Tambahnya, OSEIC Miri juga akan memperluas liputan perkhidmatan di kawasan utara Sarawak yang sebelum ini bergantung kepada kemudahan sedia ada di lokasi lain.

OSEIC Miri katanya akan menjadi pusat intervensi awal kedua di Sarawak selepas kejayaan pelaksanaan pusat sama di Kuching.

“Pusat berkenaan akan menyediakan perkhidmatan diagnosis, penilaian perkembangan serta intervensi awal kepada kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun melalui pendekatan individu, kumpulan kecil serta persediaan ke alam persekolahan formal,” katanya.