TEGAS diiktiraf BrandLaureate BestBrands 2026

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), menerima anugerah The BrandLaureate Bumiputera BestBrands Awards 2026 dalam kategori Kecemerlangan Pembangunan dan Pemerkasaan Komuniti.

Anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen berterusan TEGAS dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan bakat, inovasi digital serta ekosistem keusahawanan yang inklusif sejak penubuhannya pada tahun 2012.

Sepanjang tahun 2025 sahaja, TEGAS melaksanakan sebanyak 102 program dengan penyertaan lebih 1.08 juta peserta, mencerminkan impak signifikan dalam memperluas akses kepada pendidikan, kemahiran digital dan peluang keusahawanan di seluruh Sarawak.

Inisiatif seperti TEGAS Digital Village dan TEGAS Digital Innovation Hub turut menjadi pemangkin utama dalam menyokong pertumbuhan syarikat pemula, memudahcara pemindahan teknologi serta mempercepatkan proses pengkomersialan, selaras dengan aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital dan pembangunan mampan menjelang 2030.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Timbalan Pengerusi TEGAS, Datuk Dr Jerip Susil mewakili Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh, bersama Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, menerima anugerah tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini yang mencerminkan usaha kolektif seluruh warga TEGAS serta sokongan berterusan dari Kerajaan Sarawak dan rakan strategik. Anugerah ini menjadi pemangkin untuk kami terus memperkukuh inisiatif dalam membangunkan bakat, memperkasa komuniti dan merangsang pertumbuhan keusahawanan digital di Sarawak,” kata Len Talif.

The BrandLaureate Bumiputera BestBrands Awards 2026 membawa tema memperkasa jenama Bumiputera dengan menekankan kecemerlangan, daya tahan dan keupayaan organisasi dalam membina jenama berimpak tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Anugerah itu turut mengiktiraf jenama yang menunjukkan prestasi cemerlang merangkumi strategi, komunikasi, budaya organisasi serta ekuiti jenama, sekali gus mengukuhkan kredibiliti dan kedudukan mereka di peringkat nasional dan global.

TEGAS adalah sebuah badan amanah yang memacu inovasi digital, pendidikan STEM dan TVET serta pembangunan keusahawanan di Sarawak.