KUANTAN: Sarawak memperluaskan akses pasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke peringkat nasional menerusi Showcase Usahawan Sarawak (SUS) 2026 dengan sasaran potensi jualan mencecah RM3 juta.
Program yang berlangsung di Kuantan City Mall bermula 29 April hingga 3 Mei itu menghimpunkan usahawan Sarawak sebagai platform strategik memperkukuh jaringan perniagaan serta meningkatkan daya saing produk tempatan.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Awang Tengah, penganjuran SUS bukan sekadar platform promosi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada aktiviti komersial dan peluasan rangkaian perniagaan usahawan Sarawak.
“Program ini merupakan platform untuk usahawan kita mempromosi produk dan perkhidmatan di peringkat nasional serta memperkukuh jaringan perniagaan dan mempercepatkan aktiviti komersial,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan sesi padanan perniagaan melibatkan beberapa syarikat sebagai rakan strategik dijangka membuka peluang pasaran lebih luas kepada produk Sarawak.
“Setakat ini terdapat beberapa syarikat yang berminat menjadi rakan strategik dengan sasaran potensi jualan sebanyak RM3 juta,” ujarnya.
Beliau menegaskan kerjasama antara Sarawak dan Pahang menjadi model strategik dalam memperkukuh hubungan ekonomi serta memperluas peluang pasaran antara wilayah.
“Kerjasama ini mencerminkan pendekatan pembangunan yang menggabungkan warisan dengan inovasi serta ekonomi dengan kesejahteraan rakyat,” katanya.
SUS 2026 turut menampilkan pelbagai produk unik Sarawak merangkumi sektor makanan dan minuman, kraftangan serta produk berasaskan sumber tempatan.
