MIRI: Orang awam di bahagian ini diingatkan supaya mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka berikutan cuaca panas serta kering, yang boleh meningkatkan risiko jerebu dan kebakaran terutama di kawasan tanah gambut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata amalan tersebut boleh membawa kesan buruk kepada persekitaran selain berpotensi mencetuskan kebakaran berskala besar ketika musim kemarau.
Beliau turut menekankan agar semua agensi berkaitan pengurusan bencana di Bahagian Miri sentiasa bersedia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Persediaan rapi amat penting supaya setiap kejadian dapat ditangani dengan cepat dan berkesan, sekali gus mengurangkan risiko terhadap keselamatan penduduk serta alam sekitar,” ujarnya.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika menghadiri taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang diadakan di Lapangan Terbang Miri, hari ini.
Sementara itu, laporan daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menunjukkan sebanyak 23 titik panas direkodkan setakat ini, dengan tujuh daripadanya masih dalam siasatan.
Turut sama hadir ialah Dato Sri Lee Kim Shin serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.
