Sarawak teliti rangkaian pengangkutan Hungary bangunkan wilayah utara

BUDAPEST: Sarawak meneliti amalan terbaik pengurusan logistik dan rangkaian pengangkutan bersepadu Hungary sebagai rujukan dalam perancangan pembangunan wilayah utara negeri ini menjelang 2035.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi ke Budapest berkata lawatan tersebut bertujuan menimba pengalaman serta memahami model operasi logistik bersepadu yang dilaksanakan di Pusat Logistik Antara Mod Budapest (BILK), antara hab utama kargo rel dan logistik di Eropah Tengah.

Katanya, delegasi terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, ketua agensi dan perunding yang terlibat dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 turut mempelajari aspek pengurusan kargo rel, operasi terminal, pergudangan, penyelarasan logistik dan keselamatan di situ.

“Kami amat berminat untuk melihat bagaimana sebuah pusat logistik bersepadu seperti BILK menggabungkan pengangkutan rel, jalan raya, pergudangan, pengedaran, pengendalian kargo, operasi terminal, proses kastam serta penglibatan sektor swasta dalam satu ekosistem yang cekap,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menambah, pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh menerusi lawatan itu amat relevan dalam usaha memperkukuh infrastruktur logistik Sarawak, termasuk pelabuhan, lapangan terbang, kawasan perindustrian, pintu masuk sempadan dan rangkaian pengangkutan darat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Menurut beliau, sistem logistik yang cekap merupakan antara pemangkin utama transformasi ekonomi Sarawak, khususnya dalam menarik pelaburan strategik dalam sektor semikonduktor, teknologi aeroangkasa, pembuatan termaju dan industri bernilai tinggi.

Sementara itu, Awang Tengah menjelaskan, Sarawak kini giat melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui pembangunan industri, tenaga boleh diperbaharui, pendigitalan dan inovasi.

Dalam masa sama, beliau berkata kelebihan Sarawak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui menerusi sumber hidroelektrik serta pelaburan dalam tenaga solar, biojisim dan hidrogen terus memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab tenaga bersih serantau.

“Keupayaan ini memberikan Sarawak kelebihan strategik untuk menarik pelaburan hijau, menyokong pembangunan industri dan memperkukuh peranan negeri sebagai ekonomi masa depan yang berdaya saing di rantau ASEAN,” ujarnya.

Beliau menambah, dapatan daripada lawatan tersebut akan dimanfaatkan dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 yang memberi fokus kepada pengukuhan kemudahan logistik, peningkatan jaringan pengangkutan, perdagangan rentas sempadan dan pembangunan kawasan perindustrian di wilayah utara Sarawak.