GPS tampil 11 muka baharu, kekalkan Rayong di Engkilili

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyuntik pembaharuan dalam barisan calonnya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 dengan mempertaruhkan 11 muka baharu daripada keseluruhan 82 calon.

Selain itu, untuk meningkatkan penyertaan wanita dan mengekalkan sebahagian besar penyandang berpengalaman.

Pengumuman senarai calon oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini, menyaksikan muka baharu merangkumi kira-kira 13.4 peratus daripada keseluruhan calon yang diketengahkan gabungan berkenaan.

Sebelas calon baharu itu:
Wung Duk Ing (N9 Padungan),
Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (N16 Muara Tuang),
Yussuf Chik (N25Simunjan),
Awang Nashfarini Awang Sarbini (N49 Beting Maro), Leonard Libau Anol (N32 Simanggang),
Nor-E-Fadzwie Salleh (N40 Kabong),
Alexander Donald (N49 Ngemah),
Kevin Lau Kor Jie (N53 Bawang Assan),
Cerisologo Sabut (N61 Pelagus),
Nurfatin Syafawani Tahamat (N71 Bekenu) dan
Datu Jack Liam (N80 Batu Danau).

Pembaharuan itu turut menyaksikan beberapa penyandang lama memberi laluan kepada muka baharu, termasuk Dato Sri Wong Soon Koh di Bawang Assan selepas tujuh penggal, Datuk Francis Harden Hollis di Simanggang selepas enam penggal dan Datuk Rosey Yunus di Bekenu selepas empat penggal.

Penyertaan wanita pula meningkat kepada lima calon berbanding empat pada pilihan raya sebelumnya, terdiri daripada Dato Sri Fatimah Abdullah (Dalat), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga) serta dua muka baharu, Dr Dayang Nurfizawati dan Nurfatin Syafawani.

Dalam pada itu, Johnical Rayong Ngipa terus diberikan kepercayaan mempertahankan kerusi Engkilili selepas mengumumkan peletakan jawatan daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) berkuat kuasa 22 November lalu sebelum kembali menyertai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Manakala, pemimpin kanan termasuk Abang Johari (Gedong), Datuk Amar Douglas Uggah Embas (Bukit Saban) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Bukit Sari) turut dikekalkan.

Dari segi pembahagian kerusi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bertanding di 47 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti SUPP dengan 18 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak 11 kerusi dan PDP enam kerusi.

Mengulas pemilihan calon, Abang Johari berkata, pengenalan muka baharu yang secara umumnya berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun merupakan sebahagian daripada proses meremajakan GPS dan parti komponennya.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada penyandang yang memberi laluan serta menegaskan bahawa mandat untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak terletak di tangan rakyat.