KUCHING: Persoalan sama ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertimbangkan untuk meletakkan calon langsung susulan kemelut yang melanda Parti Demokratik Progresif (PDP) dijangka terjawab esok.
Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu ketika ditanya media hari ini.
“Tunggu esok,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada GPS akan mempertimbangkan pendekatan meletakkan calon langsung seperti yang pernah dilaksanakan ketika bersama Barisan Nasional (BN) dahulu.
Ditanya sama ada segala persoalan berhubung perkara itu akan terjawab esok, beliau sekali lagi menjawab: “Esok.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Sedang Pesat Membangun 2026 (SIAC 2026) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari mengesahkan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam, namun memaklumkan belum ada sebarang kepastian berhubung kerjasama politik.
“Datuk Nasution ada berjumpa dengan saya semalam dan kami minum bersama. Bagaimanapun, belum ada sebarang kepastian.
“Beliau hanya menerima maklum balas daripada pihak kita dan saya menyerahkan perkara tersebut kepada beliau serta partinya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai manifesto Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang dijangka diumumkan, Abang Johari menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan.
“Kita teruskan pembangunan,” katanya.
