SAMARAHAN: Pembangunan jaringan jalan raya baharu antara Samarahan dan Serian dijangka membuka lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sepanjang laluan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri merancang memperluas rangkaian perhubungan bagi menghubungkan beberapa kawasan yang sebelum ini mempunyai akses terhad.
“Pembinaan laluan baharu ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk menghubungkan kawasan Samarahan dengan kawasan lain termasuk Serian.
“Pembukaan jaringan perhubungan tersebut turut memberi peluang kepada pembangunan kawasan baharu serta merancakkan aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Ujarnya, pembangunan infrastruktur perlu dirancang secara menyeluruh bagi memastikan kawasan yang dihubungkan dapat menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi.
Jelasnya, hubungan lebih baik antara kawasan akan membantu membentuk pembangunan wilayah yang lebih seimbang di Sarawak. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
