873 penerima dapat bantuan perubatan, pendidikan

BINTULU: Seramai 873 penerima menerima bantuan perubatan dan pendidikan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Iskandar Turkee berkata, daripada jumlah itu, 110 individu menerima bantuan perubatan, manakala 763 pelajar mendapat bantuan pendidikan.

Menurutnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen LAKIB dalam membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya dalam aspek kebajikan, kesihatan dan pendidikan.

“Bantuan pendidikan ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak, selain memastikan kekangan kewangan tidak menjejaskan peluang mereka mendapatkan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan pendidikan LAKIB bagi sesi Julai hingga Disember 2026 di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 25 pelajar menerima sumbangan bantuan pendidikan yang disampaikan sendiri oleh Iskandar.

Beliau berkata, LAKIB akan terus memberi perhatian kepada keperluan masyarakat menerusi penyaluran bantuan bagi meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan.