Wong Soon Koh letak jawatan, sokongan kepada GPS kekal

SIBU: Selepas kira-kira 35 tahun menabur bakti dalam arena politik, bekas Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dato Sri Wong Soon Koh mengumumkan peletakan jawatannya daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan beliau itu dinyatakan dalam sidang media di sini, hari ini.

Serentak dengan peletakkan jawatan itu, beliau akan memberi perhatian kepada kehidupan bersama keluarga.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hasrat untuk berehat daripada politik aktif itu tidak bermakna sokongannya terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan berakhir.

Wong,84, berkata, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam politik, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk menikmati kehidupan yang lebih santai dan memberi ruang kepada generasi muda meneruskan perjuangan.

“Selepas tiga atau empat dekad dalam politik, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berehat. Saya berhak menikmati kehidupan yang lebih santai dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna saya akan melupakan politik. Saya akan terus memberikan sokongan kepada GPS, khususnya kepada Premier Sarawak,” katanya.