SAMARAHAN: Golongan belia digesa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peranan pengundi muda semakin penting berikutan peningkatan jumlah pengundi susulan pelaksanaan Undi18.
“Golongan berusia 18 tahun ke atas kini secara automatik layak menjadi pengundi dan mempunyai tanggungjawab untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri.
“Pilihan raya merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh pertimbangan demi memastikan kerajaan yang dipilih mampu menjaga kebajikan rakyat,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, golongan muda tidak seharusnya memandang ringan kuasa undi yang dimiliki khususnya dalam menentukan kepimpinan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Justeru, beliau menggesa anak muda supaya tidak mensia-siakan hak tersebut dan tampil mengundi bagi memastikan suara generasi muda turut diambil kira dalam menentukan kepimpinan Sarawak. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
