Sarawak perkukuh penyelidikan penyakit tropika melalui kerjasama antarabangsa

SAMARAHAN: Sarawak terus memperkukuh keupayaan penyelidikan kesihatan menerusi pembangunan pusat penyelidikan penyakit tropika di Samarahan dengan kerjasama institusi antarabangsa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat penyelidikan berkenaan akan memberi tumpuan kepada kajian penyakit baharu serta pembangunan kaedah rawatan menggunakan perubatan moden.

“Kita menjalinkan kerjasama dengan institusi penyelidikan dari Jerman dan Australia bagi melaksanakan kajian berkaitan penyakit tropika,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Samarahan di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.

Jelasnya, penyelidikan itu turut memanfaat kekayaan biodiversiti Sarawak sebagai asas kepada usaha menghasilkan penemuan dan kaedah rawatan baharu.

Ujarnya lagi, pembangunan pusat berkenaan merupakan antara pelaburan penting kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor kesihatan serta meningkatkan keupayaan penyelidikan tempatan.

Tambahnya, usaha itu juga selari dengan hasrat Sarawak untuk membangunkan kepakaran sendiri dalam bidang sains dan perubatan bagi menghadapi cabaran kesihatan pada masa depan. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI