Chee Kadir tidak pertahan kerusi DUN Kabong, beri laluan calon muda

KABONG: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13, sekali gus memberi laluan kepada kepimpinan generasi muda.

Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media hari ini selepas beliau membuat pertimbangan mendalam mengenai kesinambungan kepimpinan dan masa depan pembangunan kawasan Kabong.

Menurutnya, sudah tiba masanya peluang diberikan kepada generasi muda untuk tampil memikul tanggungjawab serta meneruskan perjuangan dan aspirasi pembangunan yang telah diusahakan selama ini.

Chee Kadir yang telah berkhidmat selama dua penggal atau hampir sedekad sebagai wakil rakyat menyifatkan kepercayaan masyarakat Kabong sebagai satu penghormatan besar yang akan sentiasa dikenang.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Kabong atas sokongan, dokongan serta kerjasama sepanjang tempoh beliau menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

Penghargaan turut disampaikan kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya untuk mewakili rakyat Kabong selama dua penggal.

Beliau turut menghargai sokongan barisan kepimpinan parti, ahli parti, ketua masyarakat dan ketua kaum, pemimpin akar umbi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Mengulas perancangannya selepas ini, beliau berkata akan memberikan lebih tumpuan kepada bidang profesional, khususnya kerjaya dalam bidang perundangan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk tidak bertanding semula bukan bermakna hubungan dengan masyarakat Kabong akan terputus, sebaliknya ikatan yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatan akan terus kekal.

Dalam pada itu, beliau menggesa seluruh rakyat dan pengundi DUN Kabong supaya terus memelihara perpaduan, keharmonian serta kestabilan yang menjadi kekuatan masyarakat.

Beliau turut mengajak pengundi memberikan sokongan kepada calon yang bakal ditentukan oleh kepimpinan GPS serta mengekalkan kepercayaan terhadap gabungan itu di bawah pimpinan Premier Sarawak.

“Jawatan dan tanggungjawab mungkin silih berganti, namun semangat untuk berbakti kepada masyarakat akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya.

Pengumuman itu sekali gus menandakan berakhirnya khidmat Chee Kadir sebagai wakil rakyat DUN Kabong selepas dua penggal, namun beliau menegaskan komitmen serta hubungan baik dengan masyarakat setempat akan terus terpelihara.