Sambutan Maal Hijrah semarak penghayatan hijrah, perkukuh ukhuwah di Mukah

DALAT: Sambutan Maal Hijrah 1448 Hijrah Peringkat Bahagian Mukah di Masjid At-Taqwa, Oya disambut penuh penghayatan menerusi pelbagai pengisian kerohanian yang menekankan nilai hijrah, perpaduan serta kesejahteraan masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyempurnakan Majlis Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun 1448 Hijrah.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bahagian Mukah itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi bersama-sama menghayati pengertian hijrah serta memulakan tahun baharu Islam dengan semangat dan azam yang lebih baik.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah secara berjemaah sebelum diteruskan dengan solat fardu Maghrib berjemaah dan bacaan Doa Awal Tahun 1448 Hijrah sebagai simbolik permulaan tahun baharu dalam kalendar Islam.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan, satu sesi Tazkirah Maal Hijrah telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah, Ustaz Norazman Abdullah yang mengupas pengajaran dan hikmah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan solat fardu Isyak berjemaah sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah dan tetamu kehormat.

Penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan memperkukuhkan syiar Islam, malah berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh kesejahteraan sosial dalam kalangan masyarakat setempat.

Untuk rekod, Sambutan Maal Hijrah Peringkat Bahagian Mukah diadakan secara bergilir melibatkan lima daerah dalam bahagian tersebut dengan Daerah Daro menjadi tuan rumah bagi sambutan tahun lalu.