Aduan air paip keruh menurun di bahagian Kuching

KUCHING: Sarawak Water akan terus melaksanakan operasi pembersihan saluran paip bagi mengatasi peningkatan aduan air berwarna atau keruh di bahagian ini.

Ini merujuk kenyataan di Laman Facebook Sarawak Water pada 6 Jun 2026 berhubung peningkatan aduan itu di beberapa kawasan bahagian ini.

Sejak itu, pasukan operasi dan teknikal Sarawak Water mempergiatkan aktiviti pembersihan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan penstabilan sistem agihan bekalan air.

“Hasil pemantauan terkini menunjukkan perkembangan positif apabila keadaan bekalan air di kebanyakan kawasan terjejas semakin bertambah baik,”menurut kenyataan Sarawak Water hari ini.

Trend aduan yang diterima turut menunjukkan penurunan berbanding minggu lalu, namun mereka akan terus melaksanakan operasi pembersihan dan pemantauan secara berterusan sehingga sistem agihan kembali stabil sepenuhnya dan kualiti bekalan air berada pada tahap memuaskan.

Menurut Sarawak Water, keadaan air berwarna atau keruh tersebut dipercayai berpunca daripada gangguan mendapan dan kelodak dalam sistem paip agihan susulan perubahan aliran air dan proses penstabilan sistem bekalan air di beberapa kawasan.

“Isu ini tidak melibatkan kegagalan proses rawatan air di loji rawatan air Batu Kitang yang terus beroperasi dan dipantau seperti biasa,”jelasnya serta komited memastikan pengguna menerima bekalan air yang berkualiti, dan selamat.