KEMBARA perkasa budaya membaca, martabat bahasa Melayu di Daro

DARO: Usaha memupuk budaya membaca dan memperkasa penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid serta pendidik terus diperkukuh menerusi Program Kembara MADANI Bahasa dan Sastera (KEMBARA) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong, semalam.

Program tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bersama Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari.

Penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada pengisian Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan serta memperluas apresiasi terhadap sastera dalam kalangan masyarakat.

Dalam lawatan tersebut, mereka meninjau pelaksanaan Program Majalah dalam Kelas yang memanfaatkan majalah terbitan DBP sebagai bahan sokongan pembelajaran di bilik darjah.

Inisiatif itu dilihat mampu menyemai minat membaca, memperkukuh penguasaan bahasa dan meningkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran.

Selain itu, program berkenaan turut memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan memelihara bahasa dan mengamalkan penggunaan bahasa Melayu yang betul serta berhemah dalam komunikasi harian.

Murid-murid juga didedahkan kepada asas penulisan puisi yang baik, termasuk aspek pemilihan diksi, keindahan bahasa, penghayatan nilai dan penerapan unsur kreativiti dalam penghasilan karya.

Program Majalah dalam Kelas merupakan antara inisiatif strategik DBP dalam membudayakan amalan membaca berkualiti di sekolah, di samping melahirkan generasi yang berpengetahuan, berfikiran kritis dan menghargai khazanah bahasa serta sastera negara.