KABONG: Memperkasa golongan muda menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta menangani masalah banjir yang menjejaskan sektor pertanian menjadi antara fokus utama calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Kabong Nor-E-Fadzwie Salleh.
Menurutnya, pendekatan pembangunan kawasan itu perlu mengambil kira demografi pengundi yang majoritinya terdiri daripada golongan muda.
“Majoriti pengundi di Kabong ketika ini terdiri daripada golongan muda. Jadi, saya yakin kita perlu melihat potensi mereka dalam penggunaan AI dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Senarai Calon GPS pagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembangunan teknologi dan keupayaan masyarakat.
Selain itu, beliau turut berhasrat memberi perhatian serius kepada masalah banjir yang sering menyebabkan tanaman petani musnah, khususnya ketika musim tengkujuh.
Beliau turut bertekad meneruskan perancangan pembangunan terdahulu serta memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa, pemimpin masyarakat, NGO dan penduduk setempat demi memastikan kemajuan serta kebajikan rakyat Kabong terus terpelihara. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
