Yussuf bawa pengalaman pentadbiran ke Simunjan

KUCHING: Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Simunjan, Yussuf Chik, membawa pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan awam ke arena politik.

Berusia 45 tahun, beliau berasal dari Kampung Saging Hilir, Simunjan dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Negeri di Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Sarawak.

“Pelantikan saya sebagai calon memberi peluang untuk saya menyumbang kepada masyarakat serta meneruskan dasar perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon GPS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Yussuf memulakan kerjaya di PTPTN pada 2006 sebagai Penolong Pengurus Bahagian Simpanan sebelum menjadi Pengurus Cawangan Sarawak pada 2013 hingga 2019.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Negeri PTPTN Sarawak pada 2020 hingga kini.

Dari segi pendidikan, beliau merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik.

Beliau turut aktif dalam pertubuhan NGO termasuk SIKAP, KEPINTAS dan PERKAJAS. Yussuf merupakan anak kelapan daripada 10 beradik serta mempunyai empat cahaya mata. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI