KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai rombongan mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Oepng di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Premier Sarawak untuk menghadiri dua acara utama sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung pada 20 dan 21 Jun ini.
Dua acara berkenaan ialah Perarakan Niti Daun 2026 dan Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang dijangka menarik penyertaan masyarakat dari seluruh negeri.
Dalam pertemuan itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan turut memberi taklimat mengenai perkembangan persiapan program yang membawa tema “Segulai Sejalai”.
Menurut beliau, tema tersebut mencerminkan semangat perpaduan, kebersamaan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang menjadi kekuatan Sarawak.
Katanya, sambutan Gawai Dayak peringkat negeri terus berperanan sebagai platform penting untuk mempromosikan kepelbagaian budaya serta memelihara warisan tradisi masyarakat Dayak kepada generasi muda.
Acara kemuncak pada 21 Jun akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan kehadiran pemimpin negeri serta wakil masyarakat dari pelbagai kawasan di Sarawak.
