KUCHING: Kerajaan Sarawak menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini dapat diteruskan namun secara lebih sederhana di Selangor pada Ogos depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan meneruskan temasya itu amat dihargai memandangkan semua negeri telah membuat persiapan rapi dan berada di peringkat akhir latihan.
“Alhamdulillah, saya amat gembira dan ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Kementerian Belia dan Sukan, menterinya (Dr Taufiq Johari) serta Exco Negeri Selangor kerana berjaya memastikan temasya ini dapat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kejohanan Futsal Piala Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) SABERKAS di Arena Sukan Simpang Tiga, di sini, hari ini.
Tambahnya, penganjuran ini diadakan secara berskala kecil, dengan acara perasmian dan penutupan akan dikurangkan ke tahap paling minimum termasuk sukarelawan yang pada asalnya sekitar 30,000 orang juga dikurangkan kepada 5,000 orang sahaja.
Mengulas mengenai persiapan Sarawak, Abdul Karim memberitahu, kem latihan akan bermula minggu hadapan sebelum berangkat ke sana.
“Ini menunjukkan persiapan kita sudah berada pada tahap akhir. Tempahan bilik, homestay dan sebagainya juga telah dibuat, malah deposit pun sudah dibayar,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Karim menjelaskan, Kerajaan Sarawak bersedia mempertimbangkan pembinaan gelanggang futsal sendiri sekiranya permintaan dan sambutan terhadap sukan itu terus meningkat di negeri ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Setiausaha Agung SABERKAS Dr Safiee Ahmad, Ahli Dewan Negara Senator Dato’ Ahmad Dato’ Sri Ibrahim.
