KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) perlu terus meneroka teknologi baharu dan menghasilkan penyelesaian digital yang lebih inovatif bagi memastikan Sarawak kekal di hadapan dalam pembangunan teknologi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan teknologi dunia menuntut SAINS meningkatkan keupayaan dan kepakaran tempatan, bukan sekadar menjadi pengguna tetapi juga pencipta teknologi.
Menurut beliau, antara bidang baharu yang berpotensi diterokai Sarawak ialah teknologi angkasa, khususnya pembangunan nanosatelit dan satelit kecil CubeSat yang disasarkan menjelang 2030.
“Penggunaan satelit di orbit bumi rendah mampu menyediakan pelbagai data penting.
“Ini termasuk mengenal pasti sumber mineral melalui imej dan maklumat yang diperoleh dari angkasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-35 SAINS di Wisma Melayu, di sini, malam ini.
Abang Johari mahu SAINS terus membangunkan aplikasi dan sistem digital yang lebih maju serta berdaya saing bagi memenuhi keperluan pentadbiran kerajaan.
Beliau turut menekankan kepentingan perkongsian data antara jabatan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, menjimatkan masa dan mempercepat proses membuat keputusan.
“Sepanjang 35 tahun, SAINS memainkan peranan penting dalam pembangunan sistem digital kerajaan.
“Ini termasuk pelaksanaan Sarawak Pay yang kini dikenali sebagai SPay Global.
“Kejayaan sistem pembayaran digital tersebut terbukti amat membantu rakyat ketika pandemik covid-19 apabila transaksi dapat dilakukan secara elektronik tanpa menggunakan wang tunai,”ujarnya.
Justeru,beliau berharap SAINS terus menjadi peneraju transformasi digital Sarawak melalui pembangunan teknologi baharu, inovasi dan kepakaran tempatan dalam usaha mencapai aspirasi negeri maju menjelang 2030.
Turut hadir anak Premier Sarawak, Dayang Norjihan, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengerusi SAINS Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam hadir sama. -NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
