Pemuda Parti PBB Kabong beri sokongan padu kepada Mohd Chee Kadir

KABONG: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong menyatakan sokongan padu agar Dato Mohd Chee Kadir dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Sokongan itu disuarakan menerusi Program Pemuda Bersama Ketua Cawangan Kabong di Pusat Khidmat DUN Kabong, petang tadi, sebagai tanda keyakinan terhadap kepimpinan beliau.

Program berkenaan menjadi medan memperkukuh hubungan antara kepimpinan parti dan jentera pemuda di peringkat akar umbi selain menyelaras persiapan menghadapi pilihan raya.

Dalam pertemuan itu, Pemuda Kabong menegaskan komitmen untuk menggerakkan keseluruhan jenteranya bagi memastikan kesiapsiagaan parti menjelang pilihan raya.

Selain kempen bersemuka, Pemuda Cawangan merancang memanfaatkan media sosial serta platform digital untuk mendekati pengundi muda dan menyampaikan maklumat dengan pantas.

Menurut pergerakan itu, sokongan terhadap Chee Kadir berdasarkan rekod perkhidmatan yang konsisten membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.

Chee Kadir memenangi kerusi DUN Kabong pada PRN 2016 dan berjaya mempertahankannya pada PRN 2021.