Todak Berjaya 1 dinobat Raja Sungai

KUCHING: Pasukan Todak Berjaya 1 dari Debak, Saribas dinobatkan sebagai Raja Sungai kategori tempatan pada Regata Sarawak Festival Tebingan Kuching 2026, di sini, hari ini.

Pasukan itu mengungguli acara kemuncak Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Sungai Sarawak, sekali gus menewaskan beberapa pencabar ternama untuk meraih gelaran berprestij berkenaan.

Pengurus Todak Berjaya 1, Kaunselor Kasdi Pandi berkata, keputusan hanya menyertai kategori 25 dan 30 pekayuh dibuat bagi memastikan tenaga kira-kira 40 anggota pasukannya dapat ditumpukan kepada perlumbaan utama.

Menurutnya, kemenangan tersebut di luar jangkaan memandangkan Todak Berjaya 1 merupakan pasukan kampung tanpa penaja, namun komitmen, disiplin dan semangat kerjasama yang tinggi menjadi kekuatan utama mereka mengatasi pasukan lebih berpengalaman.

Dalam saingan itu, Landas Saga Sebuyau 3 muncul naib juara dan menerima RM20,000 berserta piala manakala Udak-8 menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM10,000 berserta piala, sementara Todak Berjaya 1 membawa pulang RM30,000 berserta piala.

Hadiah kemenangan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dengan kehadiran isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, pada acara kemuncak Regata Sarawak 2026 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November.