SPAOH: Kerajaan Sarawak menjadikan pembangunan luar bandar sebagai keutamaan melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, LCDA juga memainkan peranan penting dalam memacu transformasi pembangunan luar bandar.
“Ini melalui pelaksanaan projek yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program LCDA Berambeh Ke Betong Sempena Sambutan 45 Tahun LCDA Bersama Komuniti di Dewan Masyarakat Spaoh, Betong, di sini hari ini.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II berkata dalam sektor pertanian, LCDA menekankan kepentingan memperkasa perniagaan tani dan pembangunan pertanian moden.
“Ini termasuk projek Agropark Lubok Tamang sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri dan sumber pendapatan baharu,” katanya.
Katanya, pembangunan infrastruktur kampung, kedai komuniti dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) turut diberi perhatian bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta kemudahan asas lebih baik kepada penduduk luar bandar.
Selain luar bandar, LCDA melalui LCDA Real Estate Sdn. Bhd. (LRESB) turut memberi tumpuan kepada pembangunan bandar, pembaharuan kawasan penempatan dan penyediaan rumah mampu milik bagi membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, Pengurus Besar LCDA, Datu Zaidi Mahdi, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta Dato Razaili Gapor.
