Bakal diroboh, pembangunan semula Saujana cerminkan transformasi bandar raya Kuching

KUCHING: Pembangunan semula kawasan Taman Selera Saujana di sini, mencerminkan transformasi bandar raya ini ke arah persekitaran lebih moden menerusi pembangunan infrastruktur dan kemudahan baharu.

Taman Selera Saujana itu lebih dikenal Saujana terletak berhampiran Kuil Sikh Sarawak, Jalan Masjid di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan berkenaan mempunyai nilai sejarah tersendiri dan dekat di hatinya kerana beliau sering berbasikal di sekitar lokasi itu.

“Kawasan ini suatu ketika dahulu menempatkan sebuah kuil kayu dengan beranda besar serta sebuah stesen kereta api yang dibina pada zaman pemerintahan Rajah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penaiktarafan bangunan tambahan Kuil Sikh Sarawak (Gurdwara Sahib Kuching) Jalan Masjid di sini, hari ini.

Cadangan pembinaan bangunan tambahan berkenaan mula dikemukakan pada 2013.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman serta Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, Presiden Persatuan Temple Sikh Sarawak, Dato Dr Kalwinder Singh Khaira serta ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.

Abang Johari menjelaskan, usaha menghidupkan semula kawasan itu dan sekitarnya menerusi pembangunan moden bukan sahaja mencerminkan perubahan dalam masyarakat Sikh, malah menggambarkan kemajuan bandar raya Kuching secara keseluruhan.

“Bangunan lama di hadapan akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan moden, selain pembangunan sebuah stesen air di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, pembangunan kemudahan fizikal itu menjadi sebahagian daripada usaha memperbaharui landskap bandar serta menyediakan persekitaran lebih sesuai dengan keperluan semasa.

Abang Johari berkata, perbincangan mengenai pembangunan semula kawasan itu bermula sejak 2013 dan 2014 sebelum usaha mengambil alih kawasan berkenaan untuk tujuan pembangunan dibangkitkan pada 2016.

Abang Johari menjelaskan, transformasi bandar raya Kuching turut melibatkan pembinaan stesen Transit Aliran Autonomi (ART) berpusat bagi menyediakan sistem pengangkutan kepada rakyat.

Pembangunan baharu itu turut merangkumi sehingga ke kawasan limbungan kapal di Muzium Maritim Sarawak.

Beliau sehubungan itu, menjelaskan Kerajaan Sarawak menyumbang sebanyak RM5 juta bagi menyokong pembangunan moden itu.