Dapatkan khidmat kaunseling kaunselor berdaftar

KUCHING: Orang ramai dinasihat supaya mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia bagi memastikan nasihat dan bimbingan diberikan oleh individu berkelayakan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, pendaftaran berkenaan penting bagi memastikan kaunselor mempunyai kelayakan untuk menjalankan tugas secara profesional.

Menurutnya, individu yang menjalankan perkhidmatan kaunseling secara persendirian tetapi belum berdaftar digalakkan mendapatkan pendaftaran dengan badan berkenaan.

“Amat penting untuk memastikan kaunselor yang memberikan nasihat mempunyai kelayakan dan berdaftar.

“Ini terutama apabila melibatkan perkara yang mungkin dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Santuni Kasih anjuran kementeriannya yang berlangsung selama tiga hari di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Nancy berkata, khidmat kaunseling memainkan peranan penting dalam membantu individu dan keluarga menghadapi tekanan emosi serta pelbagai masalah sosial.

Katanya, peranan kaunselor turut diperlukan dalam mengendalikan kes sensitif termasuk membantu keluarga yang terlibat dalam kes penemuan bayi lelaki di Kapit baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya menyemak status pendaftaran kaunselor sebelum mendapatkan perkhidmatan bagi memastikan bantuan yang diterima adalah daripada individu berkelayakan.

Dalam perkembangan lain mengenai bayi tertimbus di Kapit baru-baru ini, ujarnya, keputusan mengenai penjagaan bayi lelaki berkenaan masih belum dimuktamadkan kerana proses perlindungan dan siasatan sedang dijalankan.

“Bayi berkenaan dilaporkan selamat dan masih menerima rawatan di Hospital Sibu.

“Kementerian masih menunggu perintah mahkamah bagi menentukan penjaga yang sesuai memandangkan keluarga sebelah ibu bayi tersebut masih ada,”jelasnya.

Beliau berkata, pegawai pelindung kanak-kanak turut bekerjasama dengan keluarga dan pihak penyiasat, selain menyediakan khidmat kaunseling, dengan keselamatan serta kebajikan bayi menjadi keutamaan. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI