SIMANGGANG: Sri Aman bakal menikmati jaringan jalan raya lebih lancar menerusi projek menaik taraf laluan dari simpang Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman ke Bandar Simanggang kepada jalan berkembar dengan kos keseluruhan RM334 juta.
Projek berkenaan diluluskan Kerajaan Sarawak bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas susulan pembangunan pesat Sri Aman serta peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keadaan jalan sedia ada yang sempit tidak lagi mampu menampung pertambahan trafik seiring perkembangan bandar itu.
“Jalan raya dari simpang Pan Borneo masuk ke Sri Aman itu sempit. Sri Aman sudah membangun. Oleh itu, Sri Aman semakin membangun, kenderaan semakin banyak sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman di sini, hari ini.
Menurutnya, projek itu turut menjadi sebahagian daripada pembangunan rangkaian pengangkutan bersepadu yang menghubungkan Sri Aman dengan kawasan sekitar, termasuk Jambatan Batang Lupar Kedua, Jalan Utama Kedua, Sebuyau dan Betong.
Selain infrastruktur jalan raya, kerajaan turut merancang pembinaan sebuah Pusat Konvensyen Mini di Sri Aman dalam tempoh lima tahun bagi memperkukuh peranannya sebagai hab pertemuan, persidangan dan perbincangan agenda pembangunan serantau.
Hadir sama, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian serta dif-dif kenamaan lain.
