KUCHING: Sebanyak 166 reka bentuk perabot berjaya dihasilkan menerusi program SayD’signer Sarawak.
Daripada jumlah itu, 10 dipilih untuk dipasarkan bersama pemain industri perkayuan tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan bakat tempatan menghasilkan produk kreatif dan inovatif yang berpotensi menembusi pasaran lebih luas.
Menurut beliau, inisiatif tersebut turut membuka peluang kepada generasi muda membina kerjaya dalam bidang reka bentuk, teknologi pembuatan dan keusahawanan.
“Program seperti ini amat penting untuk melahirkan pereka tempatan yang kreatif dan inovatif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Penyampaian Hadiah Penerima Khidmat Setia 30 tahun dan 20 tahun 2026 warga Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di Hotel Riverside Majestic, di sini, malam tadi.
Beliau menjelaskan, sebanyak 15 syarikat berminat melabur dalam pembangunan Taman Perabot Kuching yang masih dalam perancangan.
Katanya, pembangunan taman perabot itu merupakan usaha Kerajaan Sarawak mengembangkan industri hiliran berasaskan kayu, khususnya pengeluaran produk bernilai tambah tinggi.
“Nilai eksport pelet kayu Sarawak menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya RM400,000 pada 2021 kepada RM179 juta pada 2025.
“Perkembangan tersebut membuktikan potensi besar produk berasaskan kayu dalam pasaran antarabangsa, khususnya sektor biojisim dan tenaga boleh baharu,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemain industri meningkatkan penggunaan teknologi moden, produktiviti serta pengeluaran produk hiliran seperti perabot, kayu kejuruteraan dan produk berasaskan buluh.
Katanya, pendekatan berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan ekonomi bernilai tinggi dan ekonomi kitaran.
Dalam masa sama, jelasnya, PUSAKA akan terus bekerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak serta pemain industri bagi memperluas pembangunan ladang hutan dan buluh sebagai sumber bahan mentah alternatif. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
