Sarawak rancang tambah tempat pengajian perubatan UNIMAS kepada 80

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang menambah 40 lagi tempat pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), menjadikan jumlah keseluruhan 80 berbanding 40 ketika ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Naib Canselor UNIMAS bagi meningkatkan bilangan doktor, khususnya dalam kalangan anak Sarawak.

“Kita mempunyai 40 tempat ketika ini dan akan menambah lagi 40.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhannya 80,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak ke-33 dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, pertambahan tersebut dirancang bermula pada ambilan semester baharu dengan penyelarasan kemasukan pelajar perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau berkata, Yayasan Sarawak turut memainkan peranan dalam usaha berkenaan dengan memberi keutamaan kepada anak Sarawak untuk mengikuti pengajian perubatan.

“Langkah ini penting bagi melahirkan lebih ramai doktor tempatan yang dapat berkhidmat di Sarawak,

“Ia sekali gus membantu menangani kekurangan tenaga perubatan,” ujarnya.

Sementara itu, Abang Johari memaklumkan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) juga sedang membuat persediaan untuk menubuhkan fakulti perubatan di Sibu.

Bagaimanapun, katanya, penubuhan fakulti berkenaan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun persediaan bagi memastikan semua keperluan memenuhi piawaian antarabangsa.

“Kita mesti mempunyai standard yang tinggi, termasuk kerjasama dengan universiti lain yang mempunyai penanda aras antarabangsa,” jelasnya.

Tambah beliau, persediaan tersebut merangkumi penyediaan tenaga pengajar berkelayakan, kemudahan pembelajaran serta pematuhan piawaian pendidikan perubatan antarabangsa.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI