Hadi Mohd Sharkawi johan Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 2026

KUCHING: Anak kelahiran Kuching, Sarawak Hadi Mohd Sharkawi diumum sebagai johan Qari Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo (MTQBB) 2026 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Hadi anak jati Kampung Patingan, Jalan Datuk Ajibah Abol di sini, membawa pulang hadiah berjumlah RM20,000.

Tempat kedua dimenangi Ahmad Suaib dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia menerima wang tunai RM14,000, manakala Mohamad Faizzil Affandi dari Miri, Sarawak tempat ketiga membawa pulang hadiah RM10,000.

Bagi kategori Qariah, Nadita Aisyah Fitri dari Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia diumum sebagai johan dan membawa pulang RM20,000.

Munzalina Abdul Rauf dari Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia di tempat kedua menerima hadiah RM14,000, manakala Fasihah Arpa dari Kuching, Sarawak tempat ketiga menerima hadiah RM10,000.

Dalam acara hafazan bagi kategori Hafiz, Mohammad Zaini Na’im dari Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia muncul johan dengan hadiah RM10,000, diikuti Muhammad Fathi Safwan Eshak dari Kota Kinabalu, Sabah menerima RM8,000.

Ahmad Khothib dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia pula menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM6,000.

Sementara kategori Hafizah menyaksikan Aisyah Yussof dari Kuching, Sarawak dinobatkan sebagai johan menerima RM10,000.

Khansa Ilmiya dari Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia meraih naib johan dengan hadiah RM8,000, manakala Nurul Izzah Mukhali dari Miri, Sarawak memperoleh tempat ketiga dengan wang tunai RM6,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd.

MTQBB 2026 bermula sejak 26 Oktober lalu mempertandingkan dua acara utama, iaitu Tilawah Al-Quran bagi kategori Qari dan Qariah serta Hafazan Al-Quran bagi kategori Hafiz dan Hafizah, dengan penyertaan seramai 32 peserta dari beberapa bandar di Borneo.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta kenamaan lain.