Parti PBB perkemas SOP, selaras jentera hadapi PRU DUN Sarawak ke-13

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperkemas prosedur operasi standard (SOP) serta penyelarasan jentera sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak ke-13.

Timbalan Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi taklimat awal kepada jentera pilihan raya dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parti PBB.

Beliau berkata, taklimat berkenaan diadakan atas arahan Setiausaha Agung Parti PBB bagi memastikan semua jentera memahami prosedur dan tanggungjawab masing-masing, khususnya berkaitan urusan pentadbiran, penyelarasan sekretariat serta penghantaran bahan kempen.

“Persediaan awal itu penting bagi memastikan segala urusan berjalan lancar bermula hari penamaan calon hingga hari pengundian.

“Kita mengadakan perbincangan lebih awal supaya semua arahan dan SOP jelas sebelum tiba hari penamaan calon, ketika semua jentera sibuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengagihan/ Pengedaran Barangan dan Bahan Kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini, hari ini.

Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata, antara perkara yang diperincikan ialah penghantaran bahan, urusan pentadbiran serta hubungan antara ibu pejabat Parti PBB dengan cawangan dan DUN di bawah parti.

Fazzrudin berkata, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan masalah penyelarasan sekiranya perbincangan hanya diadakan pada saat akhir, ketika jentera turut perlu memberi tumpuan kepada pelbagai urusan prosedur dan tindakan strategik.

Beliau berkata, taklimat berkenaan turut memberi ruang kepada wakil cawangan dan DUN untuk mengemukakan maklum balas bagi menambah baik SOP sedia ada, terutama berkaitan pengurusan dan penghantaran bahan kempen.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa bahan kempen belum diedarkan kepada bahagian kerana perbincangan pada peringkat itu lebih tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pemuktamadan prosedur.

Menurutnya, pembentukan jentera kempen akan dilaksanakan kemudian, manakala perbincangan berkenaan ketika ini memberi tumpuan kepada penyelarasan sekretariat dan sistem komunikasi parti.

Fazzrudin berkata, penyelarasan pentadbiran dan prosedur bagi menghadapi pilihan raya itu turut dibincangkan oleh kepimpinan parti komponen lain menerusi perbincangan berasingan yang dikendalikan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.