SKS Sri Aman sasarkan 100,000 pengunjung mulai 30 Okt-1 Nov

SIMANGGANG: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya mulai 30 Oktober hingga 1 November ini.

Bertempat di Padang Kompleks Sukan Sri Aman, program itu menawarkan pelbagai aktiviti, perkhidmatan kepada rakyat serta hadiah cabutan bertuah, termasuk sebuah kereta Perodua Bezza.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS, Datu Hii Chang Kee, berkata pelbagai pengisian dirancang bagi menjadikan program itu tumpuan masyarakat setempat dan pengunjung dari kawasan sekitar.

Antara tarikan utama termasuk pameran, kaunter perkhidmatan, cabutan bertuah e-Peraduan, Sri Aman Kitchen and Sales, konsert rakyat serta Malam Budaya Sarawak.

Pengunjung turut berpeluang menyertai Program Berjalan Santai berbusana tradisional, selain pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sukan.

Cabutan bertuah pula menawarkan hadiah seperti motosikal, barangan elektrik dan barangan kemas, selain kereta Perodua Bezza.

Hii berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program SKS di Sri Aman, semalam.

Bertemakan ‘Jaga Sarawak-Intu Sarawak’, program itu dijadualkan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Sabtu ini.

Orang ramai, khususnya penduduk Bahagian Sri Aman dan kawasan sekitarnya, dialu-alukan hadir untuk mendapatkan manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan, di samping menikmati aktiviti hiburan, kebudayaan dan kemasyarakatan.