Pendidikan alam sekitar perlu dekat dengan kehidupan masyarakat

KUCHING: Pendidikan alam sekitar perlu menghubungkan generasi muda dengan kepentingan pemeliharaan sungai, hutan dan ekosistem semula jadi.

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, berkata pengalaman komuniti boleh menjadikan pendidikan alam sekitar lebih bermakna.

“Melindungi sungai bermakna melindungi sumber air dan mata pencarian keluarga yang bergantung kepadanya.

“Menjaga hutan juga membantu memelihara pengetahuan dan tradisi komuniti yang berkait rapat dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sempena Majlis Makan Malam Alu-aluan Persidangan Pendidikan Alam Sekitar 2026, di sini, malam ini.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai 62 peratus litupan hutan yang perlu difahami generasi muda melalui penerangan mudah agar kepentingannya dapat dihargai dan dikekalkan untuk jangka panjang.

“Pendidikan alam sekitar membantu golongan muda memahami hubungan ini dan melihat bagaimana tindakan mereka sendiri mampu membawa perubahan,” tambahnya.

Menurutnya, pengetahuan komuniti yang diwarisi melalui pemerhatian terhadap tanah, sungai dan perubahan musim wajar diterapkan dalam pendidikan bagi membantu generasi seterusnya menghargai alam sekitar.