Adong Kechil West hidupkan aktiviti pengeluaran minyak darat Sarawak

SINGAPURA: Pengeluaran minyak pertama dari medan Adong Kechil West, Blok SK433 di Miri menghidupkan semula aktiviti pengeluaran minyak darat Sarawak selepas hampir 50 tahun.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pengeluaran yang dimulakan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRA Energy pada Julai 2026 itu kini mencatatkan kira-kira 800 tong minyak sehari.

Menurut beliau, perkembangan berkenaan membuktikan usaha Sarawak memperkukuh keselamatan tenaga terus membuahkan hasil, khususnya dalam memastikan bekalan tenaga mencukupi bagi menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi negeri.

“Ketika industri kita berkembang, permintaan terhadap tenaga turut meningkat.

“Justeru, kita terus memperkukuh keselamatan tenaga Sarawak dengan membangunkan sumber minyak dan gas darat serta luar pesisir, di samping memperluas penjanaan hidro dan solar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Singapore International Energy Week (SIEW) 2026 di Sands Expo and Convention Centre, Singapura, di sini hari ini.

Katanya, momentum berkenaan akan diteruskan menerusi aktiviti penerokaan minyak dan gas di beberapa kawasan lain termasuk Balingian, Limbang, Marudi dan Niah.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, PETROS turut meneroka pembangunan bersepadu medan gas luar pesisir di perairan barat Sarawak bagi mewujudkan sumber bekalan gas yang lebih dipercayai untuk Kuching Low-Carbon Hub.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur gas berkenaan penting bagi menyokong keperluan penjanaan kuasa serta aktiviti industri pada masa hadapan, khususnya di wilayah selatan Sarawak.

Dr Hazland berkata, pembangunan Tanjung Embang pula akan disokong oleh infrastruktur LNG, Kuching Deep-Sea Port dan taman perindustrian bagi menarik industri bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pemprosesan makanan serta mesin pintar. – UKAS