PRN13: Pantang berundur – Mohamad Asfia

KUCHING: ‘Pantang berundur,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar apabila ditanya jika diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya negeri ke-13 (PRN13) nanti.

Beliau berkata, mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, Speaker DUN Sarawak tidak semestinya terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mohamad Asfia berkata demikian ketika ditanya jika diberi peluang untuk bertanding dalam PRN akan datang pada sidang media khas di Bangunan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Pada sidang media itu, Mohamad Asfia mengumumkan akan menyerahkan surat cara rasmi pengisytiharaan pembubaran DUN yang ditandatangani oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 24 Oktober, 2026, kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato Seri Ramlan Datuk Harun pada hari ini.

Dalam surat cara itu, Yang di-Pertua Negeri berkenan bersetuju bahawa DUN Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober lalu.

Susulan itu SPR akan mengeluarkan writ dan Notis Pilihan Raya dalam Gazet Kerajaan.

Menurut Mohamad Asfia, SPR akan mengumumkan tarikh khusus untuk hari penamaan calon dan hari mengundi kemudian.

Pada PRN13 ini hanya 82 kerusi dipertandingkan memandangkan proses persempadanan semula 17 kerusi baharu DUN oleh SPR masih belum siap.

Sebelum dilantik Speaker DUN, Mohamad Asfia pernah menjadi ADUN bagi Kuala Rejang (1979-1983) dan ADUN Serdeng (Semop) dari 1991 hingga 2011.