KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kini berusaha mencapai pengiktirafan Bandar Pintar Tahap Dua selepas berjaya memperolehi Tahap Satu berdasarkan kriteria penarafan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah,DBKU) dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen DBKU memperkukuh tadbir urus bandar melalui penggunaan teknologi dan inovasi.
Menurutnya, DBKU terus memperluas perkhidmatan digital menerusi platform i-DBKU.
“DBKU turut melaksanakan inisiatif lampu jalan pintar, lampu isyarat pintar, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan kamera litar tertutup (CCTV).
“Kerjasama strategik DBKU dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) turut membuka peluang penggunaan teknologi satelit dalam perancangan bandar, pemantauan alam sekitar dan pengurusan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Forum Bandar Sarawak (SUF 2.0), di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan forum tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, DBKU menerima 244 pengiktirafan dan anugerah sejak 1994.
Pengiktirafan tersebut sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan perbandaran, ujarnya.
Beliau turut menegaskan pembangunan bandar perlu mengutamakan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan warisan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19. -NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
