Wakil rakyat GPS sentiasa turun padang, bukan hanya menjelang PRN – Roland

SERIAN: Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa turun padang mendekati masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab mereka, bukan hanya apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.

Naib Yang di- Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, khidmat kepada rakyat merupakan tanggungjawab berterusan yang dilaksanakan setiap wakil rakyat GPS.

“Sebenarnya, kita sentiasa turun padang. Semua wakil rakyat GPS sentiasa bersama rakyat sepanjang masa,” katanya ketika ditemu bual selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Simbolik Kit Sains Sarawak (KITSS) dan Kem Matematik STEM di Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR), di sini.

Mengulas kemungkinan kemunculan calon baharu pada PRN akan datang, Roland yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak berkata, sesiapa sahaja berhak menawarkan diri untuk bertanding selaras dengan amalan demokrasi.

“Ini adalah demokrasi. Sesiapa sahaja boleh bertanding dan menyuarakan pandangan masing-masing, tetapi sama ada pandangan itu bernilai atau tidak, terpulang kepada rakyat untuk menilainya,” katanya.

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat itu menyatakan kesediaan mempertahankan kerusinya sekiranya mendapat persetujuan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sambil menegaskan keputusan pencalonan semula bergantung kepada kepimpinan parti.