PERKIM digesa perkukuh dakwah, kebajikan saudara baharu

KUCHING: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) digesa terus memperkukuhkan peranan dalam usaha dakwah dan kebajikan, khususnya memberikan bimbingan berterusan kepada saudara baharu.

Premier Sarawak merangkap Presiden PERKIM Kebangsaan, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanggungjawab pertubuhan itu tidak seharusnya terhenti selepas seseorang memeluk Islam.

Menurutnya, saudara baharu memerlukan sokongan kebajikan, pendidikan dan latihan kemahiran bagi membantu mereka membina kehidupan lebih baik.

“Tanggungjawab dakwah bukan hanya tertumpu kepada penyampaian ilmu agama.

“Tetapi turut memperlihatkan nilai Islam melalui akhlak, keprihatinan dan kesediaan membantu orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-65,di Hotel Pullman, malam ini.

Abang Johari turut menggesa PERKIM memanfaatkan teknologi digital dan media sosial bagi memperluaskan penyampaian dakwah, khususnya kepada golongan muda.

Selain itu, beliau mahu penglibatan belia dalam kepimpinan PERKIM dimantapkan bagi melahirkan generasi pelapis yang mampu meneruskan usaha dakwah dan kebajikan pada masa hadapan.

“Usaha dakwah perlu dilaksanakan secara berhikmah, sederhana dan penuh kasih sayang.

Pendekatan itu perlu menghormati kepelbagaian agama, kaum dan budaya bagi mengekalkan keharmonian masyarakat,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, ujarnya beliau, Kerajaan Sarawak bercadang memperluaskan pendekatan pengurusan wakaf ke peringkat nasional.

Langkah itu katanya, bagi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ini bagi memastikan setiap harta yang diwakafkan didaftarkan atas nama amanah wakaf berkenaan.

“Langkah ini dapat memperkukuhkan tadbir urus harta wakaf, sekali gus meningkatkan potensinya sebagai sumber pembangunan ekonomi masyarakat Islam,” katanya. -NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI